Tips Penjagaan & Cara Penyimpanan Makanan di dalam Peti Sejuk

Assalamualaikum
Bismillah

Peti sejuk merupakan peralatan elektrik yang digunakan untuk menyimpan makanan dan minuman agar tahan lebih lama. Peti sejuk biasanya dikategorikan kepada tiga (3) ruang iaitu ruang pembeku (freezer), ruang penyejuk (chiller) dan ruang penyejuk kedua (second chiller).


Tips Penjagaan Peti Sejuk

1. Jangan buka pintu peti sejuk terlalu lama kerana akan meningkatkan suhu bumi dan penggunaan elektrik. Udara panas akan masuk dan udara sejuk dari peti sejuk akan keluar dan menyebabkan suhu peti sejuk meningkat.

2. Pastikan muatan di dalam peti sejuk tidak terlalu berlebihan kerana ini boleh menghalang peredaran suhu sejuk ke segenap ruang. Penyimpanan makanan yang terlalu padat dalam peti sejuk akan menyebabkan udara sejuk tidak dapat beredar dengan baik untuk menyejukkan makanan.

3. Elakkan menyimpan terus makanan yang terlalu panas ke dalam peti sejuk.

4. Jangan menggunakan bekas kaca untuk menyimpan makanan.

5. Pastikan peti sejuk tidak diletakkan terlalu rapat ke dinding untuk pelepasan haba yang baik.

6. Jangan letakkan peti sejuk berhampiran atau di tepi dapur yang panas.

7. Tidak digalakkan meletakkan peti sejuk berdekatan dengan tingkap bagi mengelak terkena air hujan atau cahaya matahari yang memancar terus pada badan peti sejuk.

8. Pastikan julat suhu diruang peti sejuk di bawah 4°C untuk ruang pendingin peti sejuk (chiller) dan -18°C hingga 0°C bagi ruang sejuk beku (freezer).  Suhu yang lebih tinggi akan merosakkan makanan yang didinginkan dan suhu yang lebih rendah akan menyebabkan masalah pembekuan.

9. Bersihkan peti sejuk setiap minggu menggunakan disinfektan yang sesuai bagi mencegah bau busuk, kotoran dan kulat.  Buka pintu sedikit untuk membolehkan udara beredar sebelum meletak semula makanan ke dalam peti sejuk.

Cara Penyimpanan Makanan di dalam Peti Sejuk

1.  Gunakan bekas plastic (Tupperware) lut sinar dan bertutup atau beg plastic berzip untuk menyimpan lebihan makanan atau bahan-bahan masakan.

2.  Susun bekas-bekas tersebut dengan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan ruang.

3. Simpan buah-buahan dan sayur-sayuran berasingan kerana ia boleh menyebabkan pengumpulan gas ethelene dalam peti sejuk yang akan merosakkan makanan.

4. Jangan  menyimpan daging, ikan dan ayam di dalam peti sejuk lebih dari 3 hari. Kandungan protein dan kelembapan yang tinggi di dalam makanan tersebut akan menggalakkan pembiakan kuman dan menyebabkannya cepat rosak.

5. Jangan simpan makanan yang telah dimasak lebih dari 3 hari di dalam peti sejuk.


Permohonan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) Pembantu Pengurusan Murid N19 Diterima

Assalamualaikum
Bismillah

Sejak belakangan ini banyak benda aku mahu kongsi terutama sekali berkenaan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Pernah dengar tak tentang Pembantu Pengurusan Murid? Pasal benda nie lah aku nak kongsi dengan korang semua.


Cerita ini sangatlah panjang, tetapi aku cuma kongsi point penting saja. Jangan risau, aku akan cuba kongsi macam mana memohon jawatan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Persediaan semasa temuduga dan soalan-soalan yang bakal ditanya semasa temuduga. Cuma aku tak nak share sekarang. 

Kiranya entry ini merupakan mukadimah lah hehe~ Aku dah lama memohon jawatan Pembantu Pengurusan Murid sejak tahun 2017 lagi. Cuma tahun ini (2019) baru permohonan aku diluluskan.  


Ada 3 jawatan yang telah didaftarkan dalam SPP tetapi yang diterima untuk temuduga hanyalah jawatan bagi Pembantu Pengurusan Murid Gred N19. Ada banyak lagi jawatan yang boleh dipohon dalam SPP ini sebab dalam SPP ada dua kategori iaitu jawatan guru dan bukan guru.

Jawatan Guru
1. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 dan DG29

Jawatan Bukan Guru
1. Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Gred DH41 dan DH29
2. Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19
3. Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19
4. Penyelia Asrama Gred N19
5. Pembantu Pengurusan Murid Gred N19
6. Pegawai Khidmat Pelanggan Gred N19
7. Pembantu Makmal Gred C19
8. Pembantu Operasi Gred N11
9. Pemandu Kenderaan Gred H11


Aku tahu tentang Pembantu Pengurusan Murid ini pun daripada coursemate aku sebab dia selalu dapat temuduga bagi jawatan ini. Apa yang aku suka tentang pembantu pengurusan murid (PPM) ini adalah skop tugasan lebih kurang hampir sama dengan apa yang aku belajar semasa di Universiti. Oleh sebab itulah aku pilih jawatan ini. 

Untuk maklumat lanjut, anda boleh terus ke laman utama
SPP ⇒ https://www.spp.gov.my/ms/ 

 #TemudugaSPP
#PembantuPengurusanMurid

Isu-Isu di Tempat Kerja

Assalamualaikum
Bismilla

Kerjaya dapat didefinisikan sebagai sesuatu pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang dalam kehidupan seharian mereka yang mana berfokuskan untuk memperoleh wang bagi memenuhi keperluan perbelanjaan seharian bagi menjamin kehidupan yang lebih baik dan sempurna pada masa sekarang mahupun masa akan datang kelak.

Selain itu, kerjaya secara langsung berkait dengan organisasi ataupun syarikat yang beroperasi dalam mencapai matlamat yang diinginkan termasuklah melalui keuntungan yang besar, serta produktiviti yang berkulaiti di samping hubungan di kalangan ahli dalam syarikat mahupun organisasi tersebut berada dalam keadaan yang stabil dan harmoni. 

Namun, setiap organisasi dan syarikat tidak akan lepas daripada isu-isu atupun masalah-masalah yang timbul yang sememangnya akan memberikan pelbagai kesan yang negatif terhadap perjalanan serta kelancaran pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi tersebut. 

1. ISU GANGGUAN SEKSUAL
Isu gangguan seksual di tempat kerja merupakan salah satu isu yang serius kerana ia melibatkan maruah mangsa yang mendapat gangguan tersebut yang mana majoritinya adalah di kalangan pekerja wanita. Isu ini bukan sahaja mengganggu kesalamatan mereka tetapi juga mampu memberi kesan terhadap emosi mangsa. 


Menurut Wilson 1995, isu gangguan seksual sudah lama wujud dan ianya dikatakan bermula semenjak kaum wanita mula menceburkan diri dalam dunia pekerjaan sebagai tenaga pekerja dalam organisasi. Walau bagaimanapun, masalah ini tidak diambil serius pada zaman dahulu dan kurang dilaporkan. Namun pada pertengahan tahun tujuh-puluhan, isu gangguan seksual ini sudah mendapat perhatian daripada pihak bertanggungjawab dan ianya juga sudah dianggap sebagai satu bentuk kesalahan perilaku yang negatif.

Terdapat beberapa jenis gangguan seksual yang dikategorikan oleh negara Eropah menurut Wilson 1995, iaitu gangguan secara bukan lisan, gangguan secara lisan, gangguan secara fizikal, intimidasi serta peras-ugut seksual. 
  • Gangguan secara bukan lisan adalah seperti pemaparan gambar-gambar lucah, siulan, isyarat pergerakan dan sebagainya. 
  • Gangguan secara lisan pula melibatkan percakapan ataupun pernyataan yang mengandungi unsur lucah atau unsur seksual yang tidak boleh diterima. 
  • Gangguan seksual secara fizikal pula tidak semestinya melalui sentuhan tetapi juga melalui pandangan dan sebagainya. 
  • Intimidasi pula melibatkan komen secara terus terhadap pemakaian, rupa paras, bentuk badan mangsa yang bersifat lucah
  • Peras ugut seksual yang mana pemangsa akan memeras ugut mangsa untuk melakukan gangguan ataupun perbuatan seksual ke atasnya.

2. ISU TEKANAN/STRES
Stres di tempat kerja adalah salah satu isu yang paling popular dan paling dominan berlaku di kalangan pekerja dan organisasi. Isu ini telah menjadi isu global yang perlu diberi perhatian yang serius oleh setiap organisasi di seluruh dunia. McGrath (1976) mendefinisikan stres di tempat kerja sebagai situasi di mana kebolehan dan sumber pekerja dianggap oleh pekerja melebihi keperluan persekitaran. Manakala menurut Choudhury 2013, stres di tempat kerja berbeza pada setiap individu, ia bergantung kepada keadaan, berapa lama dan tahap kekuatan stres yang berlaku terhadap diri seseorang yang terdedah kepada stres.


Punca utama atau yang paling dominan bagi stres di tempat kerja dalam kebanyakan organisasi di seluruh dunia adalah disebabkan oleh beban kerja yang melampau dan tempoh masa bekerja yang panjang, kurangnya kawalan kerja yang rutin, konflik antara individu, kurangnya ganjaran dan masalah organisasi (Karasek dan Theorell, 1990). 

3. ISU KETIDAKHADIRAN PEKERJA
Setiap organisasi akan mengalami masalah ketidakhadiran pekerja dan masalah ini tidak dapat dielakkan. Menurut Barmase dan Shukla (2013), ketidakhadiran adalah masalah tempat kerja yang serius dan hampir semua majikan menghadapi masalah yang sama hari ini. Oleh sebab itu, isu ini sangat hangat diperkatakan dari dahulu sehingga sekarang. 

Merurut Noraizah Mohamed (2015), masalah kesihatan merupakan faktor yang menyebabkan ketidakkhadiran pekerja berlaku. Beliau juga menyatakan bahawa produktiviti kerja pekerja terganggu disebabkan oleh masalah kesihatan dan sebanyak 60% responden bersetuju dengan penyataan ini. Pekerja yang mengalami masalah kesihatan akan menyebabkan mereka sentiasa mengalami kekangan untuk datang dan bekerja sepeti biasa. 

Seterusnya, masalah ketidakhadiran pekerja berlaku disebabkan oleh masalah keluarga. Faktor ini disokong oleh S.Vijayalatha dan G.Brindha (2014) dimana kajian mereka memperoleh sebanyak 58% responden setuju bahawa kebanyakan pekerja tidak datang ke tempat kerja kerana masalah keluarga yang mereka hadapi. 

4. ISU PENYALAHGUNAAN DADAH
Dadah bukanlah sesuatu yang baharu kerana ianya telah digunakan sejak berabad-abad yang lalu. Sehingga kini, dadah telah menjadi suatu ancaman besar kepada organisasi dan juga kepada negara. Mizan Adiliah (2000) menyatakan bahawa penagihan dadah bukan sahaja golongan yang berpendapatan rendah, malahan ia telah merebak kepada golongan yang lebih mewah dan merentasi umur dan jantina.

Faktor penyebab pekerja mengambil dadah kerana mengalami masalah keluarga. Selain masalah di pejabat, masalah keluarga juga penyebab individu itu mengambil dadah kerana ia tidak dapat menangani masalah yang dihadapinya berseorangan. Oleh sebab itu, dia mengambil dadah untuk menenangkan dirinya. Masalah keluarga yang selalu menjadi penyebab pekerja mengambil dadah adalah masalah kewangan keluarga. Oleh sebab itu, pihak majikan perlu menitikberatkan kebajikan pekerja dengan sebaiknya.


Kadang-kadang, individu yang terlibat dengan masalah penagihan dadah juga daripada pengaruh rakan sekeliling. Individu yang mudah terpengaruh dengan rakan-rakan akan menjerumuskan diri mereka ke lembah keburukan yang mana akan menyebabkan prestasi kerja merosot dan konflik dalam keluarga. Oleh sebab itu, setiap pekerja perlu ambik peduli akan masalah yang berlaku sekiranya mereka tersalah langkah dengan mengambil dadah.

5. ISU BULI 
Gejala membuli berlaku di mana-mana dan setiap hari, termasuk di tempat kerja. Malangnya, ramai tidak sedar membuli juga membabitkan diri pekerja. Menurut Einarsen (1999), buli di tempat kerja merupakan satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan dalam sesebuah organisasi berbanding dengan kes-kes lain seperti gangguan seksual, keganasan di tempat kerja dan diskriminasi kaum (perkauman). Kajian turut melaporkan bahawa mangsa buli di tempat kerja cenderung untuk mempunyai ketidakhadiran yang tinggi di tempat kerja kerana mendapat cuti sakit yang berpanjangan, kurangnya kepuasan kerja (job dissatisfaction) dan motivasi untuk bekerja (reduced work motivation).  

Menurut Einarsen (1999), buli di tempat kerja dapat ditakrifkan dengan tindakan dan perlakuan berulang kali yang dilakukan keatas pekerja tanpa kerelaan pekerja tersebut dan dilakukan dengan secara sengaja atau tidak sengaja tetapi jelas tindakannya menyebabkan kesusahan kepada pekerja dan mengurangkan kepuasan kerja, meningkatkan tekanan dan mengganggu prestasi pekerjaan dan mewujudkan persekitaran kerja yang tidak menyenangkan bagi pekerja tersebut. 

Menurut Rayner & Hoel, (1997), tingkah laku buli di tempat kerja dapat dibahagikan kepada lima jenis iaitu, 
  • mengancam status professional seseorang (merendahkan pendapat dan tuduhan kurangnya usaha dalam tugas)
  • ancaman peribadi (menghina, mengugut)
  • pengasingan/ dipulaukan (isolation)
  • memberi kerja lebih (tekanan yang tidak wajar, impossible deadlines) 
  • dan destabilization (gagal memberi kredit/ ganjaran pada waktu yang ditetapkan)
Antara faktor mengapa buli di tempat kerja berlaku adalah disebabkan oleh persaingan yang tidak sihat antara pekerja. Menurut Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Marhani Midin, buli di tempat kerja melibatkan tindakan penganiayaan atau penindasan secara fizikal atau mental. Beliau menyatakan bahawa organisasi selalu mengukur tahap pencapaian seseorang pekerja melalui pencapaian menerusi persaingan dengan rakan sekerja sehingga menyebabkan berlakunya penindasan kepada orang lain akibat rasa tidak puas hati. 


Apabila seseorang mengalami stress maka susah untuk seseorang itu untuk mengawal tingkah lakunya. Bagi individu yang tidak berpuas hati dengan pekerja, mereka akan cuba menukar jadual kerja, membuatkan pekerja terbeban dengan tugasan. Selain itu, buli di tempat kerja juga terjadi disebabkan oleh hasil ketidakseimbangan kuasa apabila mangsa itu selalunya tidak setanding dengan pembuli itu. 

Setiap manusia harus dilayan secara adil, baik dan saksama lebih-lebih lagi apabila bekerja dalam satu organisasi. Isu-isu ini seharusnya tidak terjadi supaya tidak memberi kesan negatif kepada pekerja lalu membuatkan prestasi pekerja dalam organisasi menurun dan terjejas. 

Korang mungkin ada pendapat lain tentang isu-isu di tempat kerja, kongsikan di ruangan komen.